Lonjak Sektor Pertanian di NS


Sektor pertanian di Negeri Sembilan terus kekal menjadi tumpuan Kerajaan Negeri kerana sektor ini merupakan pembekal utama bahan mentah yang memberi kesan langsung kepada industri makanan pembuatan.

Sekaligus sektor ini merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negeri iaitu sebanyak 10.60 peratus kepada KDNK Negeri dengan nilai RM3.991 bilion pada tahun 2015 dengan sasaran sumbangan tidak kurang daripada 10 peratus kepada KDNK Negeri untuk tahun-tahun yang akan datang.

Walaupun sumbangan sektor ini kepada KDNK Negeri agak kecil jika dibandingkan dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun ia masih kekal relevan dan terus penting terutamanya dalam meningkatkan sekuriti makanan serta pembangunan luar bandar.

Apatah lagi dengan kedudukan Negeri Sembilan yang terletak di tengah wilayah antara Selangor dan Kuala Lumpur serta Melaka dan Johor, amat strategik negeri ini menjadi pembekal utama makanan yang bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah kepada pasaran luar terutamanya di negeri berhampiran.

Begitu juga ke arah merealisasikan hasrat menjadikan negeri ini sebagai ladang dan kebun kepada Lembah Klang, transformasi di dalam bidang pertanian ini perlu dilakukan. Bagi tujuan itu Kerajaan Negeri akan menyuntik nafas baharu dalam bidang pertanian menerusi pendekatan yang bersesuaian yang akan dijalankan dalam tempoh masa terdekat bagi memastikan impak positif dapat dihasilkan kelak. Dalam masa yang sama membolehkan sektor itu bukan sahaja berdaya maju, malah memberikan pulangan terbaik kepada pengusahanya. Ini selaras dengan transformasi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan yang berteraskan kepada Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan 2011-2020.

Dalam usaha mempergiatkan pembangunan sektor pertanian, Kerajaan Negeri juga akan memperkemaskan program-program pembangunannya disamping meningkatkan komitmen jabatan-jabatan dan golongan petani, penternak dan nelayan. Matlamat utama Kerajaan adalah untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat supaya seiring dengan kenaikan pendapatan pekerja dalam sektor lain.

Sudah tiba masanya sektor pertanian diberikan tumpuan khusus kerana bidang itu masih belum diterokai sepenuhnya walhal permintaan terhadapnya masih lagi tinggi. Ketika ini cuma terdapat tiga sahaja bahan makanan di negeri ini yang telah melebihi taraf sara diri melibatkan ayam, ayam telur dan susu segar, manakala selebihnya masih lagi bergantung dengan negeri lain atau import.