Walaupun pembangunan fizikal, industri dan ekonomi menjadi fokus utama, Kerajaan Negeri Sembilan tidak sama sekali melupakan aspek modal insan bagi memastikan kesinambungan kesejahteraan kepimpinan pada masa hadapan. Ini sebenarnya peringkat terpenting dalam perangkaan kemajuan negeri kita. Berbagai perancangan dan pelan pendidikan yang di bawah kuasa kerajaan negeri telah digerakkan dengan terperinci dan lancar. Ini terbukti dengan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar kita hingga memungkinkan Negeri Sembilan mutakhir ini sentiasa berada di dalam kelompok 5 teratas antara negeri terbaik di dalam semua peringkat peperiksaan sama ada UPSR, PT3, SPM, STPM dan sebagainya. Sudah tentulah kejayaan ini menggambarkan betapa kerjasama yang erat dan kukuh telah terjalin antara kerajaan, guru, ibu bapa khasnya serta masyarakat keseluruhan amnya. Kita akan teruskan kesinambungan kejayaan ini dengan menawarkan lebih banyak kemudahan, kerjasama dan bantuan di semua peringkat untuk terus melonjakkan graf akademi negeri seperti yang terbukti dalam Gred Purata Negeri ( GPN ) dan Gred Purata Sekolah ( GPS ).

 

Siswazah Cemerlang

Pencapaian anak-anak Negeri Sembilan di Institusi Pengajian Tinggi Awam semakin menyerlah peningkatannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, seramai 1,290 pelajar telah berjaya menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama. Pencapaian ini selaras dengan misi Menteri Besar Negeri Sembilan untuk menjadikan negeri ini sebagai Lembah Ilmu yang bakal melahirkan ramai golongan cerdik pandai versi Pendita Za’aba Era Global. Sejak diperkenalkan, jumlah pelajar yang berjaya meningkat dari setahun ke setahun. Sebanyak RM7.76 juta telah diperuntukan dari jumlah keseluruhan penerima dengan setiap pelajar menerima RM5,000 seorang sebagai insentif daripada kerajaan negeri.

 

Anugerah Cemerlang Kelas Pertama

SYARAT PERMOHONAN ANUGERAH SISWAZAH CEMERLANG IJAZAH KELAS PERTAMA YAYASAN NEGERI SEMBILAN
  1. Pemohon Kelahiran Negeri Sembilan – Kad Pengenalan (05, 31, 59) Sahaja. (Rujukan Daripada Jabatan Pendaftaran Negara – Kod Bagi Negeri Kelahiran)

  2. Pemohon Bersekolah Rendah Dan Tamat Sesi Persekolah Rendah Di Negeri Sembilan Sahaja.

  3. Pemohon Bersekolah Menengah Dan Tamat Sesi Persekolah Di Negeri Sembilan Sahaja.

  4. Permohonan Terbuka Kepada Semua Graduan Ijazah Sarjana Muda Atau Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sepenuh Masa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia/Universiti Awam (UA) Dan Institusi Luar Negara Yang Diiktiraf Oleh Jabatan Perkhidmatan Awam/Malaysia Qualification Agency (MQA) Serta IPTS Yang Berstatus GLC Yang Disenaraikan Oleh Yayasan Negeri Sembilan Berikut :
    1. Universiti Teknologi Petronas (UTP)
    2. Universiti Multimedia Malaysia (MMU)
    3. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
    4. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

  5. Institusi Swasta/ GLC Yang Tidak Disenaraikan Seperti Diatas Tidak Layak Memohon.

  6. Permohonan Hanya Untuk Peringkat Ijazah Sarjana Muda Atau Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sahaja.

  7. BAGI PEMOHON INSTITUSI DALAM NEGARA
    Pemohon Yang Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Atau Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Yang Disahkan Oleh Institusi Berdasarkan Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Masing-Masing.

  8. BAGI PEMOHON INSTITUSI LUAR NEGARA
    Pemohon Yang Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Atau Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Berdasarkan Penarafan Ijazah Kelas Pertama Institusi Luar Negara Masing-Masing Iaitu Pencapaian Tertinggi.

  9. Permohonan Tempoh 2 Tahun Ke Belakang Sahaja (Mengikut Tahun Bergraduasi) (Contoh: Tahun Semasa: 2019 – 2017 – Layak Memohon Dan 2016 Kebawah Tidak Layak Memohon)

            Untuk mendapatkan borang permohonan, sila KLIK disini