Seremban, 13 Januari 2021 (Korporat SUKNS) — Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan buat julung kali menyediakan sudut bantuan makanan Gerobok Rezeki, khas untuk penjawat awam yang bekerja di Wisma Negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Gerobok Rezeki yang diletakkan di Laman Informasi Wisma Negeri tersebut merupakan satu sudut mengumpul bantuan barangan makanan asas bagi keperluan penjawat awam yang kurang berkemampuan atau memerlukan bantuan. Penjawat awam boleh mengambil makanan di Gerobok Rezeki itu sekadar diperlukan agar lebih ramai individu atau keluarga terjejas dapat menikrriati inisiatif.
"Saya juga berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke semua jabatan di Negeri Sembilan agar mana-mana penjawat awam yang memerlukan dapat dibantu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan secara maya dan Pelancaran Gerobok Rezeki di Wisma Negeri.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Dato’ Zulkefly Mohd Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Abdul Malik dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata, keseimbangan pembangunan antara semua daerah amat penting. Beliau berkata, penjawat awam di negeri ini wajar menjadi duta, mata dan telinga untuk menyampaikan dasar pembangunan kerajaan negeri yang perlu diketahui oleh rakyat.
"Di Negeri Sembilan contohnya, sektor perindustrian kita tumpukan di Seremban dan Port Dickson iaitu di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).
"Di Jelebu, kita bangunkan sektor biodiversiti. Kerajaan negeri juga tidak melupakan Rembau, Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang mahu dibangunkan wilayah agropolis iaitu jadikan sebagai kawasan 'Dapur Lembah Klang”.