Port Dickson, 10 Februari 2025 (Korporat SUKNS) – Kedatangan Tahun Baharu Cina ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat Cina, malah dirasai oleh seluruh rakyat pelbagai kaum di Negeri Sembilan. Hampir 10,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Port Dickson. Majlis sambutan berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai tarian diiringi persembahan tarian tradisional Cina dan pukulan gendang. Orang ramai juga menikmati pelbagai juadah tempatan seperti sate, dim sum, cendol, apam balik dan pelbagai lagi.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir juga berkenaan berangkat mencemar duli ke majlis tersebut. Keberangkatan baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Turut hadir Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Muhammed Hj. Abdullah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, EXCO Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai Kanan Negeri dan Persekutuan.
Majlis dimeriahkan dengan tradisi menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan, kemakmuran, dan kesuburan bagi masyarakat Tionghua. Suasana meriah dan penuh makna, menandakan permulaan Tahun Ular, yang menurut kepercayaan Masyarakat Cina akan membawa kegembiraan, tenaga positif, dan kemakmuran yang berlimpah.