wbf

Seremban, 7 Januari 2025 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri sebanyak RM200 kepada lebih 48,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri itu.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, berkata BKK itu yang membabitkan peruntukan hampir RM10 juta dibayar sebelum Mac atau sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Sumbangan RM200 ini membabitkan semua penjawat awam Persekutuan seperti tentera, polis, guru dan agensi lain yang berkhidmat di Negeri Sembilan.

"Pemberian ini sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka dalam memberikan kerjasama dengan agensi sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025.

Pada November lalu, Aminuddin mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri itu. Bantuan berkenaan akan diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, Badan Berkanun Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pembayaran akan dilakukan pada Januari dan sebelum Aidilfitri Mac 2025.

Sementara itu Aminuddin berkata kerajaan negeri melantik semua penjawat awam di negeri ini sebagai 'duta' untuk membantu mempromosikan negeri itu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Beliau berkata sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi negeri dan telah menunjukkan kehadiran pelancong membanggakan, dengan peningkatan 30 peratus, iaitu sebanyak 15 juta orang pada 2023 berbanding 11.5 juta orang pada tahun sebelumnya.

"Untuk tahun ini, kita sasarkan kedatangan pelancong 20 juta berbanding 17 juta pada 2024. Kerajaan negeri menetapkan segmen pelancongan melalui pecahan 60 peratus pelancongan pantai, ekopelancongan (30 peratus) dan pelancongan adat, warisan serta budaya (10 peratus)," katanya.

"Aminuddin berkata Negeri Sembilan kaya dengan kawasan tarikan pelancongan terutamanya yang berteraskan alam semula jadi seperti pantai dan Taman Eko Rimba selain turut dikenali dengan keunikan Adat Perpatih.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 ysng dihadiri kira-kira 1,500 penjawat awam di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Zafir Ibrahim dan Exco Kanan kerajaan negeri Dato’ Seri Jalaluddin Alias.