MSN

Seremban, 7 Jun 2023 (Korporat SUKNS) – Dato’ Mohd. Zafir Ibrahim, 53, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa semalam. Beliau yang berasal dari Tampin menggantikan Dato’ Seri Dr. Razali Ab Malik yang bersara wajib pada 6 Januari lalu.

Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani simpan rahsia diadakan di hadapan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu berkata, pelantikan Mohd Zafir itu sudah tentu akan membantu dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang akan dibubarkan tidak lama lagi.

“Beliau pastinya akan dapat membantu dengan meneruskan agenda dan memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

“Dato’ Zafir sebelum ini bertugas di Kementerian Kewangan dan pastinya beliau akan dapat membantu dan meningkatkan keadaan ekonomi di Negeri Sembilan ini, saya yakin dengan pasukan yang ada sekarang, negeri ini mampu ditadbir dalam keadaan teratur, insya-Allah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd. Zafir pula berkata, beliau bersyukur di atas pelantikan berkenaan dan berterima kasih kepada Menteri Besar di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada dirinya.

“Insya-Allah saya akan berusaha dalam mengetuai jentera perkhidmatan awam di Negeri Sembilan ini, membantu kerajaan negeri khususnya dalam memastikan segala agenda, visi, misi dan aspirasi kerajaan negeri termasuk kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan khususnya dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan), Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta mengikuti Oxford Advance Management and Leadership Programme di Universiti Oxford. sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun di Kementerian Kewangan.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 21 Mac 1994 dan berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Kementerian Penerangan. Selain itu, beliau pernah berkhidmat di beberapa Jabatan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Mahkamah Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia serta Kementerian Kewangan.

Beliau berpengalaman luas hampir 29 tahun dalam perkhidmatan awam dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi, pengurusan kewangan serta hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri.