TUANKU MUHRIZ CEMAR DULI LANCAR KEMPEN KEBERSIHAN
Seremban, 22 September 2020 (Korporat SUKNS) --Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mencemar duli melancarkan Hari Kebersihan Sedunia (World Cleanup Day) Peringkat Negeri Sembilan dan Kempen Negeri Sembilan Bersih 2020 di Taman Malaysia Seremban.

Turut hadir, Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Muhammad Abdullah dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. Hadir sama, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malik; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.

Kehadiran Tuanku Muhriz menyerlah komitmen baginda terhadap kepentingan aspek kebersihan dan isu alam sekitar. Sejurus kemudian, Tuanku Muhriz berangkat ke Pasar Besar Seremban untuk melihat dari dekat keadaan pasar berkenaan yang baru dinaik taraf dan beramah mesra dengan peniaga di situ sebelum turut menyertai kempen kebersihan di kawasan pasar berkenaan.

Menteri Besar dalam ucapannya, berkata keberangkatan Tuanku Muhriz menyemarakkan lagi semangat serta mencetus inspirasi semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan yang bertemakan 'Moh Pungut Sampah'.

Beliau berkata, program berkenaan yang mendapat kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut diadakan di semua daerah. Program bagi daerah Seremban diadakan di Dataran Nilai, jalan masuk Muzium Lukut bagi daerah Port Dickson, Taman Eko Rimba Ulu Bendul (Kuala Pilah), Taman Eko Rimba Gunung Datuk (Rembau), Taman Eko Rimba Gunung Tampin (Tampin), Taman Eko Rimba Jeram Toi (Jelebu) dan Taman Tasik Bahau (Jempol).

Aminuddin berkata, beberapa langkah sudah diambil kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan, antaranya meningkatkan program kesedaran kebersihan di setiap daerah.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarah mengambil tindakan dan mengenakan kompaun kepada mereka yang membuang sampah termasuk dari dalam kenderaan dan di tepi jalan raya.

"Kerajaan negeri menerusi PBT bertegas kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang membuang dan melonggokkan sampah serta barangan lama di tepi-tepi jalan. Tumpuan juga diberikan di pantai Port Dickson untuk memastikan pantai itu kekal cantik dan menjadi destinasi pilihan pelancong.

"Pemantauan dan tindakan tegas juga diambil terhadap pembuangan sisa industri atau buangan terjadual ke dalam sungai kerana sejak 2019 dan tahun ini, terdapat tiga kes berlaku di negeri ini," katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat aktiviti pembuangan sisa industri sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, kerajaan negeri juga berpandangan sudah tibanya masanya pihak tidak bertanggungjawab itu dikenakan hukuman lebih berat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan menaikkan denda daripada RM500,000 kepada RM2 juta.

"Langkah tegas itu penting kerana ia membabitkan nilai kerugian yang besar selain menyebabkan rakyat berhadapan kesulitan," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin juga berkata sejak 2018 hingga tahun ini, terdapat empat kes pembuangan sampah secara haram berjaya didakwa di mahkamah dan dikenakan denda berjumlah keseluruhan RM56,000.

"Saya berharap rakyat Negeri Sembilan sentiasa dipacu oleh nilai kebersihan dalam semua aspek kehidupan. 'Moh Jangan Buang Sampah' diharap menjadi amalan dan budaya kehidupan seharian supaya kempen yang dilaksanakan ini tidak sia-sia," katanya.


Pautan Agensi

sort

  • KSN
  • MDeC
  • MSC Malaysia
  • JPA
  • LHDN
  • myGOV
  • SPA
  • MAMPU
  • SPR
  • PCB
  • myGOV Mobile

Pautan Negeri

2

  • SUK Johor
  • SUK Kedah
  • SUK Kelantan
  • SUK Melaka
  • SUK Pahang
  • SUK Penang
  • SUK Perak
  • SUK Perlis
  • SUK Sabah
  • SUK Sarawak
  • SUK Selangor
  • SUK Terengganu

Capaian Terus

sort

  • Announcement
  • GuestBook
  • Publishing
  • SmartApp
  • Charter
  • Open Data
  • Gallery
  • Archive
 
 
Facebook
YouTube
Mobile
RSS
Statistic
Email