Alat Kebesaran

Seremban, 4 Disember 2023 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada 6,662 orang penjawat awam di negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam negeri itu, yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas diamanahkan. Beliau berkata, bonus berkenaan akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada hujung Februari dan hujung Mac 2024.

"Diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi," katanya.

"Teruskan komitmen kita sebagai penjawat awam bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri demi menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu,bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024.

"Selaras tema belanjawan 'Bersama Membina Negeri MADANI', saya menyeru semua penjawat awam di negeri ini bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi mengukuhkan kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat," katanya.