Istiadat Bersiram

Kuala Pilah, 18 November 2023 (Korporat SUKNS) – Istiadat Bersiram merupakan pengisian bagi hari kedua Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat dari istana ke Panca Persada menaiki Takhta Rencana yang ditarik oleh Pegawai 99 Istana.

“Istiadat Bersiram ini istimewa kerana hanya tiga kali sahaja berlaku iaitu semasa tuanku ditabal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Istiadat Penghulu Mengadap (kedua) dan ketiga, ketika anak putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas istiadat itu di sini hari ini.

Perarakan itu dimulakan dengan lapan das tembakan meriam sehingga tuanku berdua naik ke Panca Persada dengan Istiadat Bersiram bermula di situ, manakala lapan das tembakan lagi dilepaskan apabila upacara itu selesai. Upacara kemudian dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu membawa Cepu Bedak Limau dan menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di hadapan Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani sebelum Orang Empat Istana mengelilingi pasangan diraja berkenaan sebanyak tujuh kali.

Setiap pusingan, setiap Orang Empat Istana akan menjunjung duli menandakan cukup satu pusingan dan setiap pusingan itu merupakan simbolik bagi memohon Allah melindungi tuanku daripada musibah bencana tujuh petala alam.

Selesai pusingan, Cepu Bedak Limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir Zaman secara bergilir-gilir dan baginda berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan. Upacara mencelup kedua-dua tangan merupakan simbolik bagi membersihkan diri dan dari segi jasmani, suci rohani dan luhur semangat untuk menerima kedatangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap.

Istiadat itu dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja, kenamaan kerajaan serta masyarakat sekitar pelbagai peringkat umur yang turut tidak melepaskan peluang menyaksikan istiadat penuh bersejarah di negeri tanah beradat itu.

Meskipun sudah 125 tahun sejak pertama kali diadakan, Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli masih diteruskan hingga kini, seperti pepatah "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas". Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun.