DUN2023

Kuala Pilah, 15 November 2023 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan menganjurkan pameran foto The Alhambra, Paradise on Earth di Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati keindahan seni bina Islam di Sepanyol.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Sembilan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim berkata pameran julung kali diadakan itu akan berlangsung hingga 11 Dis 2023 dan menampilkan lebih 30 gambar bersejarah selain video multimedia yang merakamkan keindahan luar biasa Alhambra.

“Pameran ini digerakkan pihak istana dan merupakan kerjasama antara Kedutaan Besar Sepanyol ke Malaysia dengan Kerajaan Negeri Sembilan mengetengahkan seni bina Islam yang masih lagi terdapat di Sepanyol termasuk istana-istana lama. Seperti yang kita tahu, Islam juga pernah sampai ke Sepanyol," katanya kepada pemberita.

Terdahulu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke pameran itu yang dirasmikan anakanda baginda Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz. Hadir sama Duta Besar Sepanyol ke Malaysia Jose Louis Pardo.

Tunku Zain Al-’Abidin dalam titah perasmiannya menjelaskan bahawa pameran itu berkisarkan tentang legasi Andalusia pada abad ketujuh dan Alhambra atau Istana Merah mempunyai banyak sejarah yang boleh dipaparkan untuk masyarakat.

“Bagi saya kedua-dua istana (Istana Merah dan Istana Lama Seri Menanti) mempunyai sejarah yang amat penting. Sempena dengan pameran ini juga kedutaan Sepanyol akan menayangkan filem yang bertajuk The Builders of Alhambra,” titahnya. Tunku Zain Al-’Abidin turut berharap agar pameran itu dapat melahirkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda untuk memelihara warisan, adat dan budaya di negeri ini agar tidak tenggelam dalam arus dunia moden.

Lembaga Muzium Negeri Sembilan mengalu-alukan kehadiran orang ramai selain menjangkakan kehadiran 5,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa ke pameran berkenaan. Pameran ini mengetengahkan keagungan Alhambra, ekspresi seni halus kerajaan Nasrid dan ikon Warisan sejarah seni Sepanyol dan kemanusiaan. Lebih 30 gambar bersejarah dan terkini selain video multimedia yang merakam keindahan menawan yang luar biasa Alhambra dan taman-taman Generalife iaitu taman digunakan oleh raja-raja Islam untuk berehat dan telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia..