DUN2023

Seremban, 10 Oktober 2023 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat menghadiri Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu supaya melaksanakan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan penuh tanggungjawab.

Baginda mahu setiap ADUN di Negeri Sembilan memberi fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat. Jangan berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat utama untuk memajukan negeri.

"Kewajipan yang diberi perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan mana-mana parti politik ataupun peribadi.

"Perancangan dan pelaksanaan dasar perlu disegerakan agar rakyat negeri ini terus terbela kehidupannya dalam suasana masyarakat yang harmoni dan selamat," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Sembilan.

Baginda mahu wakil rakyat sentiasa peka dengan hasrat dan pandangan disuarakan rakyat menerusi pelbagai ruang dan platform.

"Kamu sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat. Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.

"Beta juga ingin mengingatkan ahli-ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan," titah baginda.

Tuanku Muhriz turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan semua agensi kerajaan serta rakyat yang melaksanakan kewajipan masing-masing pada PRN Ke-15, Ogos lalu.

Baginda mahu suasana muhibah yang wujud terus dipelihara supaya Negeri Sembilan bertambah maju dan kekal menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Titah baginda, negara dan negeri ini sudah melalui 15 kali proses pilihan raya secara demokrasi dan dapat melihat perubahan besar dalam landskap politik serta corak pentadbiran kerajaan.

"Beta menyambut baik permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti untuk membentuk kerajaan yang stabil dan utuh.

"Dengan demikian, kerajaan Beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi membangunkan kemajuan negeri dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat," titah baginda.

Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Ke-15 berlangsung pada 9 hingga 13 Oktober.