maulidurRasul

Seremban, 1 Oktober 2023 (Korporat SUKNS) -- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban. Baginda yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd. Zafir Ibrahim. Baginda berdua turut berkenan untuk menyertai perarakan sempena majlis tersebut. Hadir sama, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru kepada semua pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk terus menyemai dan memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan sikap saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh. Titah baginda, Rasulullah SAW juga telah menjadikan tali persahabatan dan persaudaraan sejak mula menegakkan negara Islam Madinah sehingga termeterainya Piagam Madinah dan perlu dijadikan contoh terbaik kepada semua lapisan masyarakat, khususnya para pemimpin. Menurut baginda lagi, antara matlamat Rasul adalah untuk menyatukan umat daripada pelbagai kaum dan bangsa agar semuanya kembali kepada tuhan yang maha esa dengan penuh hikmah dan rahmah.

“Rasulullah SAW menyampaikan risalah dakwah sehingga akhirnya wujud perpaduan yang mapan. Oleh itu, umat yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan, akan menjadi umat yang berkualiti.

“Rasulullah SAW juga telah menjadikan tali persahabatan dan persaudaraan sejak mula menegakkan negara Islam Madinah sehingga termeterainya Piagam Madinah. Justeru, semua pemimpin dan rakyat di negeri ini perlu terus menyemai benih perpaduan dan memperkukuhkannya sehingga perasaan saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh,” titah baginda.

Tuanku Muhriz dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak berkepentingan supaya akur dengan kedudukan agama Islam di negara ini. “Beta juga mengingatkan bahawa semua pihak berkepentingan perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama negara dan mempunyai martabat tertinggi serta istimewa, tanpa menafikan keadilan terhadap golongan lain,” titah baginda lagi.

Sementara itu, Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya juga berharap agar rakyat Negeri Sembilan boleh menjadi contoh memperlihatkan kepelbagaian dan menzahirkan perpaduan yang menjadi teras kepada negara Malaysia.

“Dengannya rakyat negeri ini akan menikmati kehidupan yang berkualiti, mampan dan sejahtera secara holistik. Rakyat yang lebih kreatif, berdaya cipta, hidup saling hormat menghormati, yakin dan ihsan dalam setiap perancangan dan tindakan.

“Pada masa yang sama nilai bersih, muafakat dan sejahtera terus bersemarak dan kekal menjadi budaya kita bersama,” katanya. Dalam pada itu, menurut Menteri Besar, perarakan kali ini disertai oleh 76 buah kontinjen melibatkan 4,500 orang peserta daripada segenap lapisan masyarakat. Penyertaan terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, institut pengajian tinggi, sekolah dan masyarakat awam.