jalurGemilang

Kuala Pilah, 15 Ogos 2023 (Korporat SUKNS) – Dato’ Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir kira-kira pukul 4.15 petang dan seterusnya menandatangani akuan sumpah.

Tuanku Muhriz kemudian menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Aminuddin. Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar NegeriSembilan turut disiarkan secara langsung di saluran RTM TV1.

Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin dengan majoriti sebanyak 2,662 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Aminuddin sebelum dilantik Menteri Besar Negeri Sembilan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Pada PRU15 November lalu, Aminuddin yang bertanding kerusi Parlimen Port Dickson turut memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 23,601 undi.

Dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah antara 1991 hingga 1995. Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Kanan antara 1996 hingga 2008 sebagai Ketua Bahagian Jualan, Jawatankuasa Pengurusan, Panel Siasatan Dalaman Dan Juruaudit.

Sebelum menyertai PKR pada 1999, Aminuddin pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

Aminuddin selaku penyandang DUN Sikamat sejak 2008 menganggotai Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 serta turut aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau yang berkelulusan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan dikurniakan lima anak.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua selepas PH-BN memenangi sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. Daripada 31 kerusi dimenangi itu, PH menguasai 17 kerusi, manakala BN 14 kerusi.