jalurGemilang

Seremban, 28 Julai 2023 (Korporat SUKNS) – Pengibaran Jalur Gemilang merupakan pendekatan paling mudah dalam memupuk semangat perpaduan dan kekitaan rakyat di bawah satu lambang identiti negara. Justeru, seluruh rakyat Negeri Sembilan perlu mengukuhkan semangat patriotik meskipun berbeza ideologi politik, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dalam konteks menghadapi pilihan raya dan bulan kebangsaan, perasaan cinta kepada negara mendahului semangat perbezaan fahaman politik, terutama buat generasi muda yang akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagaI pemilih pada pilihan raya kali ini.

Kita boleh lihat semua pihak berlumba-lumba menaikkan bendera masing-masing dan pelbagai bentuk bagi menawan hati pemilih yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, termasuklah pemilih muda ini.

Dalam konteks inilah, kita harus menyemai rasa cinta kepada negara mendahului semangat perbezaan fahaman politik. Usaha berterusan untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan golongan muda terutama kepentingan mengekalkan perpaduan yang kita warisi daripada generasi terdahulu perlu dilaksanakan", katanya demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan di Seremban.

Ujarnya, penglibatan pemilih muda pada PRU DUN KE-15 kali ini merupakan lambang semangat patriotisme kerana demokrasi itu merupakan platform bagi menghargai kemerdekaan yang dikecapi hari ini.