maalHijrah

Seremban, 20 Julai 2023 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar dulI berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 1445 Hijrah di Masjid Negeri. Baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M di beberapa Negeri Sembilan dimulakan dengan bacaan doa akhir dan awal tahun. Tuanku Mukhriz turut berkenan menyertai bacaan doa akhir tahun yang dipimpin Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Amran Awaludin. Seterusnya baginda menunaikan solat maghrib yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Dr. Mohd. Yusry Mazlan dan solat Isyak oleh Imam 1 Masjid Negeri, Ustaz Ahmad Rijal Ghazali bersama jemaah lain.

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dalam ucapannya berkata, perselisihan dan perbezaan seharusnya tidak menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Sebagai Muslim, akidah kita satu. Walaupun kita berpegang dengan mazhab Syafei, namun mereka yang bermazhab Maliki, Hanafi atau Hambali tetap merupakan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Semua rakyat harus bertanggungjawab mengekalkan perpaduan dan saling hormat menghormati tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik untuk memastikan keharmonian umat dan agama kekal utuh.

“Ini semua boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama. Kerana itu, elakkan budaya fitnah memfitnah dan budaya melampau dan jauhi daripada memainkan isu 3R (Race, Religion & Royal) yang akan menyebabkan ketenteraman masyarakat tergugat,” katanya lagi. Sesungguhnya, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini yang bertemakan 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI,' dapat memberikan kekuatan kepada rakyat Malaysia untuk membina kesatuan yang kukuh dan saling bertoleransi dalam membina sebuah negara MADANI.