MSN

Seremban, 1 Julai 2023 (Korporat SUKNS) – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) untuk diadakan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, Rabu lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Terdahulu, Aminuddin dilihat ke di Istana Hingap sekitar jam 10 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Menteri Besar Negeri Sembilan itu ketika memasuki istana sempat menurunkan cermin kereta dan melambai tangan ke arah pengamal media yang berkumpul.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menerima watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan pada hari pengumuman dibuat. Pengarah SPR negeri, Mohd Heikal Kamarudin, berkata watikah itu diserahkan oleh Setiausaha DUN Negeri Sembilan, Mohd Amin Ludin di Pejabat SPR Negeri Sembilan.

Dengan pembubaran itu, Kerajaan Negeri Sembilan kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga). Barisan Nasional (BN) pula memenangi 16 kerusi dengan 15 daripada dimenangi UMNO manakala MIC, satu.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.