MSN

Seremban, 9 Jun 2023 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan sembilan identiti Negeri Sembilan yang merangkumi antaranya adat, seni bina, makanan tradisional, busana, bunga, muzik, tarian, lagu dan permainan tradisional ketika Majlis Perasmian Perpatih Fest 2023 di pekarangan Muzium Negeri.

Sembilan Identiti Negeri Sembilan turut dilancarkan merangkumi adat (Adat Perpatih), seni bina (Rumah Tradisonal Bumbung Panjang), makanan tradisional (gulai kuning), bunga (bunga lada), tarian (tarian piring lambung), muzik (caklempong), busana (kebaya setengah tiang, baju kurung ibu soko, baju pengantin, baju melayu lengkap cekak musang) dan permainan tradisional (dam harimau dan gasing Negeri Sembilan). Selain itu, Lagu Identiti Negeri Sembilan mengandungi enam buah lagu iaitu Lambaian Negeri (Dato' Aishah), Orang Kito (Ito), Pepatih Pepitih (Ewal), Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri), Nogori (Waris) dan Moh Dogheh (Dato' Aishah).

Lagu Moh Dogheh juga merupakan lagu rasmi bagi sektor dan industri pelancongan Negeri Sembilan dan boleh dimuat turun melalui platform Spotify, iTunes, JOOX dan YouTube. Antara penulis lirik yang terlibat adalah Hairul Anuar, Ito, Lokman Ghani (Lokgha), Mulyazi dan Waris.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan mahu menjadikan penganjuran Perpatih Fest sebagai acara tahunan pelancongan sekali gus dapat menampilkan keunikan sistem Adat Perpatih di negeri ini khususnya kepada generasi muda.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran berskala besar itu juga akan menjadi acara tambahan dalam kalendar tahunan pelancongan di negeri ini.

“Perpatih Fest perlu diadakan pada setiap tahun, mungkin akan berubah-ubah tempat (lokasi) mengikut daerah yang lain supaya acara ini lebih dekat dengan masyarakat.

“Ia juga supaya kita dapat lebih menarik minat golongan muda serta memastikan adat ini dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest 2023 di pekarangan Muzium Negeri.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Aminuddin berkata, bagi memperkasakan Adat Perpatih, aktiviti adat dan warisan serta pemuliharaan bangunan dan rumah warisan, sejumlah peruntukan telah disediakan kepada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan menerusi Belanjawan Negeri Sembilan.

“Di bawah dana memperkasakan Adat Perpatih juga telah dijalankan pemuliharaan makam bersejarah yang terdapat di luak-luak. Selain daripada itu, luak-luak juga turut mengadakan Seminar Tanah Adat di bawah dana khas ini.

“Saya difahamkan bahawa semenjak mula dana ini diperkenalkan pada tahun 2019 sehingga sekarang, sebanyak 300 lebih program yang bertujuan untuk memperkasakan pengamalan Adat Perpatih telah pun dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi.

Jelasnya, sebahagian besar pengamal Adat Perpatih itu terdiri daripada masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan bercorak matrilineal, yang mengambil garis keturunan suku daripada sebelah ibu berbeza dengan Adat Temenggung, yang menitikberatkan keturunan sebelah bapa.

Aminuddin berkata dalam konteks masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan terdapat 12 suku iaitu Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Seri Lemak, Paya Kumboh, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan Tiga Batu.

Majlis hari ini turut menyaksikan dua rekod Malaysia dicipta dan dicatat dalam Malaysia Book of Records iaitu melalui Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak serta Panta dan Jambar Terbanyak.

Sementara itu, seramai 10,000 orang pengunjung disasarkan hadir pada acara Perpatih Fest yang bertemakan ‘Seadat Tidak Seresam’ itu yang berlangsung bermula hari ini hingga 11 Jun.

Pelbagai aktiviti diadakan bersempena acara berkenaan termasuklah demonstrasi dan promosi masakan luak-luak di Negeri Sembilan, demonstrasi permainan tradisional,jualan produk, pameran dan forum.