MSN

Seremban, 29 Mei 2023 (Korporat SUKNS) – Lebih 4,000 orang menghadiri Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.

Karnival anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan itu turut mendapat kerjasama pihak USIM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

Penganjuran Karnival MSN 2023 ini antara lain adalah untuk meraikan kepelbagaian sains, teknologi dan inovasi (STI) di Negeri Sembilan dan juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi serta menarik minat rakyat setempat khususnya para pelajar dan belia dalam bidang teknologi.

Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival MSN 2023 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 - 27 Mei 2023.

Antara aktiviti yang diadakan untuk para pengunjung ialah tayangan Mini Planetarium, Pencerapan Solar, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Aktiviti Robotik, DIY Roket, Planet VR dan Pocket Talk STI.

Sementara itu, seramai 1.7 juta pengunjung disasarkan menghadiri dan menyertai Karnival Minggu Sains Negara 2023 yang dilaksanakan bermula April lalu sehingga Oktober di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai dan menarik minat kehadiran orang ramai kerana setiap aktiviti yang diadakan menggunakan kaedah praktikal (hands-on) yang melibatkan pengamal serta pakar sains dan teknologi.

“Tahun ini merupakan tahun keenam karnival ini dilaksanakan. Tahun lalu mencapai kehadiran 1.5 juta pengunjung jadi kami percaya pada tahun ini akan mencapai lebih lagi,” katanya selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai.

Lih Kang dalam pada itu berkata, Karnival Minggu Sains Negara 2023 memberi fokus kepada tujuh bidang utama antaranya Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa.

“Pelaksanaan karnival ini selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030.

“Karnival juga diteruskan secara dalam talian dengan kerjasama di antara jabatan serta agensi di bawah kementerian, institut pengajian tinggi, syarikat swasta dan persatuan melibatkan program seperti webinar dan forum,” katanya.

Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Sembilan ini merupakan penganjuran sulung dalam kalendar siri Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri di seluruh negara. Turut sama dalam penganjuran kali ini adalah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran.