apc

Seremban, 4 Mei 2023 (Korporat SUKNS) – Lebih 20,000 orang dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani yang akan diadakan pada 7 Mei ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, majlis yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 3 petang bertempat di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di Forest Height di sini.

Tambah beliau, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dijadualkan berangkat ke majlis tersebut pada pukul 1 tengah hari. Turut menyerikan majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Persiapan telah diatur dan semalam kami telah memuktamadkan kemudahan termasuk tempat parkir dan kenderaan ulang alik yang disediakan bagi pengunjung, saya harap ini akan memudahkan pengunjung yang datang pada hari Ahad ini. Kami anggarkan sekitar 20,000 orang akan hadir pada majlis tersebut,” katanya.

Sebanyak 52 reruai makanan akan disediakan untuk dinikmati termasuk lemang daun lerek, rendang maman, apam Johol, cendol dan pelbagai lagi.