BELANJAWAN2023

Seremban, 2 Disember 2022 (Korporat SUKNS) - Penjawat awam Negeri Sembilan menyambut baik beberapa insentif khas yang diberikan kepada mereka susulan pembentangan Belanjawan 2023 Negeri Sembilan. Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik menyeru agar semua penjawat awam berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri.

“Saya mewakili seluruh penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih susulan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2023”.

“Ini adalah pengiktirafan dan penghargaan kepada penjawat awam yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan kecemerlangan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, selain Bantuan Khas Kewangan (BKK), mereka yang layak akan menerima kemudahan pinjaman pembelian komputer dan kenderaan tanpa faedah untuk tahun ketiga. Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 melibatkan seramai 5,599 orang penjawat awam negeri itu yang mana akan dibayar pada Januari dan April 2023.

“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan melalui SPTB PLUS (SKHT) dan perluasan e-DOKET.

“Ini bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri dan membolehkan urusan pentadbiran dibuat secara dalam talian,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan agar semua penjawat awam agar berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkat produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan Melunas Janji Menggalas Harapan yang menyediakan sembilan bidang dengan 64 inisiatif bagi membantu rakyat. Tema ‘Melunas Janji, Menggalas Harapan’ bagi mengimbangkan keperluan sara hidup dan mengukuhkan ekonomi yang berdaya saing. Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 yang memperuntukkan perbelanjaan RM550 juta, anggaran hasil RM450 juta, belanjawan pembangunan bernilai RM130 juta serta belanjawan defisit sebanyak RM100 juta.