Ekspo Jualan Perumahan Edisi Negeri Sembilan
SEREMBAN:
Hampir 17,000 rumah mampu milik telah ditawarkan sempena Ekspo Jualan Perumahan Edisi Negeri Sembilan yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban pada 12 April yang lalu. Antara projek yang ditawarkan di ekspo tersebut adalah lapan projek PR1MA di Seremban Sentral, Seremban Utara, Senawang, Rantau 1 dan 2, Pedas, Port Dickson, Kuala Pilah serta Taman Green View.

Ekspo yang merupakan inisiatif PR1MA; Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Jabatan Perumahan Negara; Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Menteri Besar berkata, seiring dengan usaha kerajaan pusat, pihak kerajaan negeri turut melaksanakan Dasar Perumahan Negeri Sembilan bagi membantu masyarakat Negeri Sembilan. Dasar tersebut mewajibkan agar setiap projek perumahan yang diluluskan mempunyai 20 peratus rumah yang berharga RM80,000 ke bawah, 15 peratus rumah yang berharga RM250,000 kebawah serta 15 peratus RM400,000 kebawah.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Seri Mat Ali bin Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Dato’ Abdul Mutalib Alias serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato' Jalaluddin Bin Alias.