MB_Rasmi_Empangan_Triang
JELEBU:
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah merasmikan Empangan Sungai Triang yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan pada 22 Mac yang lalu.

Empangan bernilai RM148 juta ini dibina atas dasar bagi membekalkan air mentah yang mencukupi untuk loji rawatan air di Negeri Sembilan.

Empangan ini merupakan Fasa Ke-5 di bawah Projek Skim Bekalan Air Triang yang dimulakan sejak 2007 secara berfasa dengan kos keseluruhannya sebanyak RM512 juta.

Projek ini melibatkan pembinaan terowong, pembinaan muka sauk Petaseh, pemasangan paip air mentah serta pembinaan Empangan Sungai Triang.

Menteri Besar berkata, dengan kapasiti 110MLD (Million Liters per Day), empangan ini mampu menambahkan margin bekalan air mentah bagi kawasan Seremban, Mantin, Lenggeng, Nilai, Enstek dan Sendayan yang sekaligus mampu mengurangkan masalah gangguan bekalan air pada masa akan datang.

Menurutnya, rizab air Negeri Sembilan kini berada dalam kadar maksima dan mampu bertahan selama enam hingga tujuh bulan sekiranya dalam keadaan kemarau berpanjangan.

Majis perasmian Empangan Triang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Seri Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Dato’ Jalaluddin Alias, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim serta Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Wan Rasdi Wan Ismail.