Sindiket Judi Siber Tukar Taktik

SEREMBAN: Hanya 0.81 peratus atau 373 daripada 45,947 serbuan terhadap premis judi siber di negeri ini, dikategorikan sebagai berjaya sepanjang tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bilangan keseluruhan serbuan oleh polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menunjukkan kerajaan serius memerangi aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya kadar kejayaan yang terlalu kecil berpunca daripada taktik sindiket judi siber yang mempunyai rangkaian antarabangsa, tidak lagi menggunakan kaedah lama termasuk menyediakan komputer atau mesin judi di premis mereka.

"Mereka kini beroperasi di premis yang kelihatan seperti kafe dan hanya menyediakan tablet dilengkapi perisian atau aplikasi judi yang mempunyai sambungan dengan modem di luar negara.

"Apabila serbuan dijalankan, mereka memutuskan sambungan dan memadam aplikasi itu, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengaitkan aktiviti itu dengan perjudian untuk didakwa di mahkamah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Mohamad berkata, walaupun berdepan cabaran itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Perjudian Siber negeri, tidak berputus asa dan akan terus memperbanyakkan serbuan bagi membanteras sindiket terbabit.

Sehubungan itu, beliau menggesa usaha menyelaras semula undang-undang berkaitan judi diberi keutamaan dan dibentangkan di Parlimen dengan segera bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan berkesan diambil dalam usaha memerangi judi siber.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri mengkaji untuk menggunakan undang-undang berkaitan kesihatan dalam usaha melupuskan barang rampasan judi yang terlalu banyak disimpan sebagai bahan kes, terutama di balai serta stor polis.

"Kita difahamkan, terdapat bahan berbahaya termasuk radioaktif dalam kuantiti kecil pada setiap peralatan komputer dan mesin judi. Berikutan bilangannya yang terlalu banyak, kita bimbang kesihatan anggota polis dan orang berhampiran terjejas dalam jangka masa panjang," katanya.

Sumber dari BH Online