Gerakan Bersepadu Banteras Judi Siber

SEREMBAN 26 Nov. - Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Membanteras Perjudian Siber berjaya melaksanakan gerakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memerangi kegiatan judi siber di seluruh negeri ini.

Operasi itu melibatkan dua jenis judi iaitu secara dalam talian dan premis yang menggunakan mesin hadiah di pusat hiburan keluarga.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Pasukan Petugas Perjudian Siber Negeri Sembilan, berdasarkan sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun ini sebanyak 13,486 serbuan dan pemantauan telah dilaksanakan ke atas premis pusat hiburan keluarga dan pusat siber.

“Sebanyak 299 komputer untuk tujuan berjudi telah dirampas.

“Selain itu 75 orang penganjur telah berjaya ditangkap dan 223 pemain telah berjaya diberkas. Ini merupakan satu kejayaan besar di dalam usaha menangani masalah judi siber di negeri ini,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, kes perjudian siber telah menunjukkan penurunan yang drastik hasil daripada usaha berterusan pihak berwajib.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2014, sebanyak 2,060 rampasan komputer telah dibuat namun bagi tempoh yang sama pada tahun ini ia menurun kepada 312.

“Begitu juga dengan jumlah tangkapan penganjur yang berkurangan pada tahun 2014 seramai 157 berbanding 75 orang bagi tahun ini. Dari segi pemain pula pada tahun 2014 seramai 356 pemain telah diberkas. Pada tahun ini pula jumlah tersebut menurun kepada 223 orang sahaja,” tegas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, penurunan ini berlaku kerana usaha berterusan dan serius kerajaan negeri serta ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu kegiatan itu dihapuskan serta-merta.

“Keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen pusat hiburan keluarga dan lesen yang sedia ada dilihat menjadi penyumbang utama kepada penurunan tersebut.

“Namun begitu hal itu tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan yang hakiki kerana modus operandi operator judi telah mula bertukar kepada penggunaan telefon pintar dan gajet siber yang lain.

“Justeru kerajaan negeri akan terus berusaha dengan lebih keras dengan menggunakan pendekatan penguatkuasaan yang lebih komprehensif dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Selain itu, kerajaan negeri telah menggerakkan jentera penerangan bersepadu dalam memberikan penjelasan dan penerangan mengenai gejala judi siber di Negeri Sembilan. Harapan kerajaan negeri agar usaha membanteras judi siber ini terus dilipat-gandakan,” jelas kenyataan itu.

Sumber dari Utusan Online