wbf

Seremban, 15 Januari 2024 (Korporat SUKNS) – Penjawat Awam Negeri Sembilan mula memanfaatkan pelaksanaan Jadual Waktu Bekerja Fleksibel (WBF) yang bermula pada hari ini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, pelaksanaan WBF merupakan salah satu strategi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan menghasilkan warga kerja yang mampu berdaya saing untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Saya melihat waktu kerja fleksibel ini sepatutnya dimanfaatkan semua penjawat awam khususnya di SUK ini bagi mengelakkan isu kesesakan jalan raya, isu menghantar anak.

"Waktu anjal bukan meningkatkan motivasi semua mereka penjawat awam di Negeri Sembilan, jadi kita tiada lagi ada alasan-alasan tertentu dan kita tidak mahu mereka menyalahgunakan waktu ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memberi amanat pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Seremban.

Tambahnya, penjawat awam diingatkan agar memanfaatkan pelaksanaan waktu anjal itu dengan baik dan akan menarik balik sekiranya ada kakitangan yang didapati menyalahgunakan inisiatif tersebut.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2019 memaklumkan kerajaan bersetuju supaya Waktu Bekerja Fleksi (WBF) dilaksanakan di semua agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara, mulai 1 Ogos 2019.

Menerusi pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah itu, WBF diperkenalkan bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang dilaksanakan di agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sejak 1998. Hal ini selaras dengan Selaras dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah baik aturan kerja sedia ada daripada persekitaran kerja yang tegar kepada persekitaran kerja yang fleksibel dengan melaksanakan WBF di agensi Kerajaan Persekutuan.