Ibu Pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus (IPJKNNSDK) yang terletak di Jalan Rasah, Seremban merupakan Ibu Pejabat untuk Kementerian Kesihatan Malaysia bagi Negeri Sembilan. Semua pentadbiran dan aktiviti peringkat negeri adalah diuruskan oleh Pejabat ini.

Ibu Pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus yang diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri mempunyai enam (6) bahagian terdiri dari Bahagian Kesihatan Awam, Bahagian Perubatan, Bahagian Pergigian, Bahagian Farmasi, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Bahagian Pengurusan. Bahagian-bahagian tersebut diterajui oleh Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan yang bertanggungjawab kepada Pengarah Kesihatan Negeri.

Di bawah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan terdapat enam hospital, tujuh Pejabat Kesihatan Daerah, 47 klinik kesihatan, 98 klinik bidan/ klinik desa, 17 klinik 1 Malaysia, 7 Pejabat Pergigian Daerah dan 46 klinik pergigian.

 

FASILITI KESIHATAN

JABATAN KESIHATAN NEGERI SEMBILAN

BILJENIS FASILITIJUMLAH
1. HOSPITAL 6
2. PEJABAT KESIHATAN DAERAH 7
3. PEJABAT PERGIGIAN DAERAH 7
4. KLINIK KESIHATAN 47
5. KLINIK DESA 98
6. KLINIK 1 MALAYSIA 17
7. KLINIK PERGIGIAN 39
8. KLINIK PERGIGIAN (DGN.PAKAR) 7
JUMLAH 228

 

Pautan ke Agensi-agensi Kesihatan di Negeri Sembilan


KLINIK PAKAR KESIHATAN USIM: Membantu golongan asnaf

Kerajaan Negeri Sembilan menubuhkan Klinik Pakar Kesihatan USIM sebagai usaha menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat khususnya penduduk sekitar bagi mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti pada kadar berpatutan.

Klinik ini yang telah beroperasi sejak April 2016 adalah kerjasama antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penubuhannya adalah antara usaha memperluaskan konsep wakaf di negeri ini setelah MAINS memberikan status mutawali atau wakil wakaf kepada USIM bagi membolehkan universiti ini menguruskan dan mengagihkan manfaat wakaf kepada masyarakat.

Sebanyak RM2 juta dari dana wakaf diberikan kepada USIM bagi penubuhan klinik pakar ini yang dilengkapi dengan peralatan yang berasaskan teknologi terkini, melibatkan rawatan kepakaran dari pelbagai bidang serta perkhidmatan seperti Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Pakar Perubatan Dalaman, Pakar Mata (Oftamologi), Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pakar Ortopedik, Pakar Psikiatri, Pakar Pembedahan Am serta Pakar Pergigian.

Seramai kira-kira 40 tenaga pakar di kalangan doktor-doktor pakar dari Fakulti Perubatan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian USIM ditempatkan di klinik ini.

Klinik ini berperanan sebagai khidmat sosial USIM kepada komuniti dan masyarakat yang mempunyai taraf hidup rendah seperti golongan asnaf demi meringankan bebanan mereka.

Bagaimanapun USIM turut menjana kewangan melalui caj rawatan yang dikenakan kepada pesakit yang berkemampuan dalam usaha mengurangkan kebergantungan USIM kepada peruntukan daripada Kerajaan Pusat.