Alat Kebesaran

Kuala Pilah, 14 Januari 2024 (Korporat SUKNS) – Menteri Besar  Dato’ Seri Aminuddin Harun mendahului  senarai 473 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-76 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini. Ahli Parlimen Port Dickson, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, itu dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pula dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Dato’ Seri. Lima individu dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri Profesor Madya Dr Faudzinaim Badaruddin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kamal Bashah Ahmad Tajuddin. Turut menerima anugerah itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban Datin Rohani Ismail.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC Abd Khalid Othman, ADUN Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali, ADUN Johol Saiful Yazan Sulaiman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Dr Roslan Hussin pula antara 22 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Dato’.

Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 14 penerima, Darjah Pekerti Terpilih (DPT) (22 penerima) dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (62). Selain itu, tujuh individu  dikurniakan Setiawan Tuanku Muhriz (STM), Pingat Khidmat Cemerlang  Masyarakat (PMC) (112), Pingat  Jasa  Kebaktian (PJK)(194), Bentara Tuanku Muhriz (BTM) (23) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (10).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini bagi sesi pertama manakala sesi kedua pada 22 Jan dan sesi ketiga pada 29 Jan.