Alat Kebesaran

Seremban, 1 Disember 2023 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM555 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM520 juta dan belanjawan pembangunan mencecah RM140 juta.

Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan bertemakan'Bersama Membina Negeri MADANI' itu berkata fokus belanjawan adalah kepada sembilan teras dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan Skim Sejahtera Rakyat.

Belanjawan 2024 Negeri Sembilan merangkumi ekonomi, pelaburan serta infastruktur; pendidikan dan modal insan; kesejahteraan rakyat serta pertanian.

Belanjawan 2024 yang dicadangkan ini merupakan belanjawan defisit sebanyak RM35 juta. Jumlah hasil dijangka pada RM520 juta iaitu peningkatan RM70 juta atau 15.55 peratus berbanding RM450 juta pada tahun sebelumnya.

"Ini merupakan belanjawan pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada Ogos lepas. Kita tekad jadikan Negeri Sembilan sebagai model negeri maju, bersatu padu, bertamadun, serta kehidupan rakyat aman dan sejahtera, katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di sini.

Daripada anggaran hasil berjumlah RM520 juta, kutipan hasil cukai adalah sebanyak RM160.01 juta atau 30.77 peratus berbanding RM159.84 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelum ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran RM300.24 juta (57.74 peratus) iaitu peningkatan RM72.28 juta daripada RM227.96 juta, tahun lepas.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata terimaan bukan hasil dijangka mengalami sedikit penurunan sebanyak RM2.45 juta kepada RM59.75 juta pada tahun ini berbanding RM62.2juta yang disaksikan sebelum ini, disebabkan oleh penurunan anggaran terimaan cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tahun depan, sebanyak 284 projek telah dipertimbangkan untuk maksud pembangunan melibatkan 220 projek baharu dan 64 projeksambungan atau projek sedia ada. Sementara itu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada kira-kira 6,662 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar dua kali iaitu pada hujung Februari sebagai persediaan persekolahan dan akhir Mac menjelang Hari Raya Aidilfitri. Diharapkan bantuan khas kewangan itu dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi, katanya.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga 11 Dis depan akan bersambung Isnin depan.