Alat Kebesaran

Kuala Pilah, 20 November 2023 (Korporat SUKNS) – Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli merupakan lambang kemegahan pemerintahan beraja di Negeri Sembilan yang pada tahun ini genap usianya 250 tahun.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pemerintahan beraja di negeri ini diasaskan oleh Raja Mahmud ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil dikenali sebagai Raja Melewar yang ditabalkan pada 1773. Baginda bertitah satu penyelidikan sejarah sedang dijalankan dan dijangka menemukan hasil dapatan berkaitan Institusi Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan sejak kewujudannya.

“Kaedah penyelidikan dilakukan berteraskan disiplin akademik ilmu sejarah, melalui pencarian data dan maklumat yang terdapat di perpustakaan dan arkib di Malaysia, Indonesia, Brunei, United Kingdom dan Netherlands.

“Bahan penyelidikan meliputi manuskrip, dokumen perjanjian, surat, laporan, memoire zaman Belanda dan British, serta penulisan terkini,"titah baginda pada Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz. Istiadat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri. Tuanku Muhriz bertitah inisiatif kajian tersebut merupakan usaha yang tepat kerana belum ada pihak yang memulakan kajian sejarah pemerintahan beraja terperinci sekali gus hasil kajian itu nanti mampu menepis fakta sejarah kurang tepat yang diceritakan atau dicatat tanpa bukti dan dokumen sokongan.

Menurut baginda sejarah merupakan penghubung masa lalu dan menjadi panduan masadepan yang merakam, mencatat, merekod dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah disiplin perlu dipraktiskan, terutamanya pihak berkuasa, institusi akademik dan komuniti pengkaji sejarah.

Tindakan mengubah fakta sejarah merupakan perbuatan menyalahi etika keilmuan dan intelek, kerana ia menafikan hak generasi akan datang untuk mengetahui perkara sebenar. Rekod sejarah pemerintahan beraja penting bagi mempertahankan kedaulatan sistem beraja terutamanya menentukan sempadan kuasa pemerintahan,"titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah melalui sistem beraja, Yang di-Pertuan Besar memainkan perananutama menyatukan semua daerah dalam membentuk negeri ini selain menzahirkan harapan agar hasil penyelidikan tersebut mewujudkan sumber rujukan dan panduan bagi tatapan pentadbiran negeri dan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bersempena istiadat hari ini, Tuanku Muhriz turut berkenan melancarkan logo khas sempena Ulang Tahun ke-250 Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan di Dewan Banquet istana tersebut.

Dalam pada itu Tuanku Muhriz bertitah Enakmen Tanah Adat (Lingkungan/Luak Tanah Mengandung) 2022 berkuat kuasa pada 29 Dis tahun lepas memudahkan usaha pembangunan tanah adat Lingkungan dan Luak Tanah Mengandung. Baginda menggalakkan semua pemilik tanah serta para penyandang pusaka adat bermuafakat mengenal pasti kaedah sesuai untuk membangunkan tanah mereka dan seterusnya menambah pendapatan.

Beta disembah maklum kerajaan sedang memulakan program Inisiatif Usahawan Tani yang membangunkan tanah kerajaan terbiar kepada tanaman pertanian menggunakan teknologi tinggi. Fasa pertama dijangka dimulakan di tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan(MAINS) di Rembau dan para peserta terdiri daripada golongan asnaf MAINS,"titah baginda.

Tuanku Muhriz turut mencadangkan program tersebut diperluaskan kepada pemilik tanah adat bagi membantu menambah pendapatan dan meningkatkan daya pengeluaran makanan tempatan. Baginda turut menzahirkan mahu melihat tanah adat boleh menjana pendapatan melalui projek ladang solar dengan penjualan tenaga elektrik solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Terdahulu upacara kemuncak Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali ini diadakan dengan penuh tradisi bermula dengan perarakan masuk Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung bersama pembesarnya serta peralatan kebesaran luak masing-masing bermula dari pintu gerbang utama Istana Besar Seri Menanti menuju dalam istana.

Istiadat tersebut diteruskan dengan Datuk Penghulu Luak mengambil tempat duduk masing-masing di atas Seri Raja Dimuda berhadapan singgahsana kemudian ia disusuli keberangkatan masuk baginda berdua diiringi Putera Yang Empat dengan iringan irama Raja Berangkat, dimainkan kumpulan cak lempong.

Sejurus baginda berdua berangkat ke Balairong istana, istiadat tersebut disusuli dengan 11das tembakan meriam. Istiadat menjunjung duli dan lafaz taat setia diketuai oleh Penghulu luak masing-masing bermula dengan Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir dan Luak Ineh. Tuanku Muhriz bertitah istiadat tersebut signifikan dalam mencerminkan keluhuran taat setia rakyat kepada raja dan kedaulatan raja sebagai payung pemerintahan, yang bersesuaian dengan perbilangan adat. Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Mengadap Menjunjung Duli kali pertama diadakan pada 29 April 1898 semasa pemerintahan Almarhum Tuanku Muhammad dan dititahkan supaya diadakan setiap tiga tahun.