bktPelandok

Seremban, 3 MAC 2023 (Korporat SUKNS) - Pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang, Selangor dijangka memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat khususnya kawasan sempadan sekitarnya.

Malah jelas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, sedia maklum dua kawasan peranginan iaitu Port Dickson di Negeri Sembilan serta Pantai Bagan Lalang di Sepang merupakan kawasan tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

"Saya yakin kawasan ini akan bertambah luas, pesat dan memberi impak yang lebih positif pada masa akan datang susulan terbinanya jambatan ini nanti. "Jika dapat dibantu selepas ini dengan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (Jajaran Selatan), sekarang ini sampai di Banting, Selangor, jika ia sampai di Melaka pasti akan beri impak yang cukup besar kepada pelancongan pantai, khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia," katanya. Dalam pada itu, jelasnya pembinaan lebuhraya ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu-lintas dan bagi yang hendak ke Klang, Selangor menjadi lebih dekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan beberapa projek untuk membaik pulih jalan raya sebagai langkah untuk memperkasakan lagi industri pelancongan. Katanya, kerajaan juga akan membelanjakan RM160 juta bagi membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.

Selain itu, dalam belanjawan sama pembinaan Hospital Jelebu turut diberi keutamaan untuk dilaksanakan kerja menaik taraf bagi mengurangkan kesesakan di hospital utama iaitu Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sekali gus meningkatkan kemudahan kesihatan terutama kepada masyarakat setempat. 26 hospital yang akan memulakan kerja awalan untuk dinaik taraf termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.