SEREMBAN (28 September 2018):
Seratus dua puluh enam atlet dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (PSUKNS) akan menyertai Kejohanan Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri Semalaysia Ke-7 Tahun 2018.

Sebanyak lapan acara iaitu bola sepak, sepak takraw, badminton, ping pong, dart, golf,bola tampar dan bola jaring akan disertai oleh kontinjen PSUKNS dalam kejohanan pada tahun ini yang berlangsung selama lima hari bermula 30 September di Kelantan.

Majlis penyerahan bendera disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Yang Berhormat Dr. Razali bin Ab. Malik di Wisma Negeri pada pagi ini. Bendera diserahkankepada Puan Salinah binti Ismail, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan) merangkap Ketua Kontinjen PSUKNS dan kepada semua pengurus acara. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Tuan Muhamad Nahar bin Haji Mohd Sidek.

Yang Berhormat Dr. Razali dalam ucapan beliau menyatakan harapan agar atlet-atlet yang mengambil bahagian dapat mempamerkan semangat kesukanan dan setiakawan yang tinggi di samping berusaha untuk meraih kemenangan.

“Saya mensasarkan kontinjen PSUKNS berada dalam kelompok tiga teratas pada kejohanan kali ini,” katanya. Beliau juga turut menyarankan agar persediaan awal perlu dibuat bagi memastikan atlet-atlet kita cukup stamina dan latihan untuk menghadapi kejohanan pada tahun hadapan.

“Persediaan awal boleh dimulakan sebaik sahaja selesai kejohanan pada kali ini,” katanya.