SEREMBAN (14 September 2018):
Seramai 520 orang penjawat awamPentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2017 yang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Amat Berhormat Tuan Haji Aminuddin bin Harun.

Penerima anugerah yang diraikan adalah penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh Negeri Sembilan yang dilantik secara tetap, sementara ataupun kontrak serta telah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun pada hari terakhir tahun penilaian. Selain itu, mereka yang terpilih ini juga telah memperoleh markah Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) sebanyak 85 peratus dan dan bebas daripada sebarang tindakan tatatertib sepanjang tahun penilaian.

Setiap penerima menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi berjumlah RM1,000. Mereka juga diberipeluang dan keutamaan untuk menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja, diberi keutamaan sebagai calon untuk menerima pingat, bintang atau darjah kebesaran persekutuan dan negeri. Jabatan-jabatan disarankan untuk mempamerkan nama dan gambar penerima di lokasi yang strategik sekitar pejabat agar menjadi sumber inspirasi kepada warga jabatan yang lain.

Mendahului senarai penerima ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato’ Haji Zazali bin Salehudin dan diikuti dengan Pegawai Daerah Rembau, Encik Amino Agos bin Suyub.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yang Berhormat Tuan Zulkefly bin Mohd Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dr Razali bin Ab Malik, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri,Yang Berhormat Dato’ Iskandar Ali Dewa, Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Tuan Mohd Khidir bin Majid, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof bin haji Ahmad dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar dalam ucapan beliau menyatakan harapan bahawasemua penjawat awam perlu berfikiran lebih terbuka, bersikap inovatif dan kreatif serta berkebolehan untuk merealisasikan perubahan demi kecemerlangan perkhidmatan awam.

“Memandangkan era globalisasi dan pelbagai revolusi yang kian rancak pada hari ini, perkhidmatan awam memerlukan modal insan yang bersifat dinamik, responsif dan cekal. Walau bagaimanapun, setiap anggota perkhidmatan awam perlu terus membudayakan sifat bertanggungjawab, integriti serta amanah dalam melaksanakan tugas masing-masing” katanya.

“Warga perkhidmatan awam perlu meningkatkan kerjasama antara jabatan dan sentiasa bekerja sebagai satu pasukan. Terus terkongkong dalam sempadan tugas individu tidak lagi relevan dan akan menghancurkan kekuatan kita sedikit demi sedikit. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk mengelakkan karenah birokrasi yang boleh melewatkan urusan stakeholders khususnya rakyat,” katanya.