Ahli-EXCO-Kerajaan-NS-Isytihar-Harta
SEREMBAN (7 Ogos):
Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan disempurnakan oleh YAB. Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun. Majlis tersebut disambut ringkas tetapi meriah dengan dihadiri oleh penjawat awam serta orang ramai pelbagai bangsa.

Majlis bermula di Stesen Komuter Batang Benar, Nilai, apabila Menteri Besar bersama-sama orang awam menaiki komuter menuju ke Seremban.

Beliau yang diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB. Tuan Zulkefly Mohd Omar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dr. Razali Ab. Malik. Mereka berkesempatan untuk beramah mesra dengan penumpang sambil mengagihkan Jalur Gemilang.

“Aktiviti ini secara simboliknya membuktikan bahawa kepimpinan negeri sentiasa bersama-sama dengan rakyat ke arah menyuburkan keharmonian bersama.

“Tidak ada jarak atau perkara yang memisahkan antara pemimpin dengan rakyat, kerana sikap keterbukaan kerajaan hari ini adalah bagi memudah cara urusan rakyat secara umumnya,” katanya.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, Menteri Besar turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Eddin Syazlee Shith.

Majlis diakhiri dengan pelepasan 30 buah kenderaan dengan 90 orang peserta yang menyertai Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018.