wbf

Tampin, 16 Mac 2025 (Korporat SUKNS) – Lebih 3,000 hadirin memeriahkan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Nergeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Padang Serbaguna Tampin.

Anwar yang tiba kira-kira 7 malam disambut Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.

Perdana Menteri turut mendengar tazkirah ringkas sebelum berbuka puasa dan mendirikan solat Maghrib. Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan memohon sokongan Pusat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Linggi dan Sabo Dam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, negeri ini bakal mengalami krisis sumber air mentah pada 2030 jika tiada langkah mitigasi segera diambil.

"Kerajaan negeri memohon perhatian dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek TAPS Linggi dan Sabo Dam.

"Ia bagi mengelakkan krisis air mentah di Negeri Sembilan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang," katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Serbaguna Tampin.

Dalam pada itu, Aminuddin dalam ucapannya, turut memberitahu pada tahun lalu, Bandar Port Dickson telah dinobatkan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia selain menerima Anugerah Bandar Apresiasi Khas bagi Bandar Komuniti Bahagia Tampin.

Ujarnya, penyumbang utama tahap kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk adalah kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah berkesan dan teratur.

Justeru katanya, demi memastikan kebahagiaan rakyat terus subur, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada perkhidmatan terbaik.

"Misalnya, penekanan dan penambahbaikan aspek penjagaan serta akses kesihatan, merekodkan kadar sifar bagi miskin tegar, mempertingkat bekalan rumah mampu milik berkualiti, mempergiat aktiviti ekonomi dan menggalakkan gaya hidup rakyat aktif berasaskan data daripada Jadual Input-Output Negeri dan Daerah," katanya.

Beliau berbangga kerana Negeri Sembilan merupakan perintis kepada pewujudan jadual input-output wilayah di Malaysia.

Jelasnya, pembangunan Jadual Input-Output Negeri dan Daerah ini bakal membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan penggubalan dasar berasaskan bukti.

"Kerajaan negeri berbesar hati sekiranya terdapat bantuan, kemudahan dan infrastruktur yang membantu meningkatkan kehidupan rakyat di negeri ini.

"Contohnya pembangunan pertanian pintar dengan penggunaan automasi dan Internet of Things (IoT) dalam pertanian (precision farming)," ujar beliau.

Selain itu katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan wajar membantu mempercepat projek tanaman premium dan industri hiliran pertanian bagi menambah nilai kepada hasil tani tempatan di Negeri Sembilan.

Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin yang dihadiri Aminuddin, Shamsul Azri serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.