citfPilah

Seremban, 12 Mei 2022 (Korporat SUKNS) - Selepas dua tahun tidak dapat diadakan dek pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 21 Mei ini di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata, rumah terbuka berkenaan dianggarkan dihadiri 20,000 tetamu. Kali terakhir penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan adalah pada 2019 di lokasi sama dan tidak dapat diadakan dua tahun berikutan penularan pandemik COVID-19.

"Majlis bermula jam 11 pagi hingga jam 3 petang. Orang ramai diminta hadir memeriahkan majlis berkenaan, Insya-Allah, kira-kira 20,000 akan hadir atau mungkin lebih," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di sini, hari ini.

"Kerajaan Negeri juga akan persembahkan jemputan itu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan tetamu yang lain.”

DYMM Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dijangka berangkat bersama-sama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, pengunjung digalakkan memakai pelitup muka dalam kawasan tertutup dan melakukan penjarakan fizikal jika tidak memakai pelitup muka.

Lebih 100 petugas akan terlibat bagi memastikan kelancaran majlis dan pematuhan SOP, antaranya daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).