citfPilah

Seremban, 4 April 2022 (Korporat SUKNS) -Negeri Sembilan diiktiraf oleh PLANMalaysia (Jabatan Perancangan dan Desa) sebagai salah sebuah negeri 'bahagia' apabila semua daerahnya mendapat skor melebihi 80 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia.

Tujuh daerah di Negeri Sembilan yang mempunyai 1.2 juta penduduk mencatatkan skor penuh, dengan Tampin dinobatkan antara 10 Bandar Paling Bahagia Malaysia dengan pencapaian skor tertinggi 99.5 peratus, diikuti Jelebu (97.85 peratus), Jempol (89.07 peratus), Kuala Pilah (88.39 peratus), Port Dickson (85.76 peratus), Seremban (83.60 peratus) dan Rembau (81.91 peratus).

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik, berkata pembangunan setiap bandar di negeri itu berdasarkan kekuatan dan keupayaan masing-masing, berpaksikan tiga teras pembangunan menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

"Tiga teras itu adalah daerah Seremban dan Port Dickson sebagai pembangunan 'Malaysia Vision Valley 2.0', iaitu bandar metropolis yang berdaya saing inklusif dan bersih. Kuala Pilah, Tampin, Rembau dan Jempol, sebagai pembangunan agropolis menerapkan elemen pertanian. Jelebu sebagai pembangunan biodiversiti menerapkan pemeliharaan sumber semula jadi," katanya.

Katanya, terdapat enam indikator utama, dinilai di bawah dimensi komuniti sejahtera berkaitan prasarana bagi mencapai indeks Bandar Bahagia membabitkan peratusan liputan kediaman dalam lingkungan 400 meter dari kemudahan masyarakat, kadar liputan jalur lebar, pengurangan gangguan bekalan elektrik, pengurangan kes gangguan bekalan air, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam serta peratusan kediaman mendapat perkhidmatan pembetungan.

Beliau berkata, kelebihan negeri itu dapat dilihat melalui penetapan peranan dan fungsi setiap bandar seperti Seremban yang berperanan pusat pentadbiran negeri, Port Dickson sebagai bandar pelancongan dan Kuala Pilah adalah pusat warisan dan kebudayaan.

Katanya, sejajar matlamat menuju negeri sejahtera, inklusif dan mampan menjelang 2045, kerajaan negeri juga akan terus memberi penekanan dan penambahbaikan aspek kesihatan bagi memastikan akses terhadap penjagaan kesihatan.

Selain itu, menangani kemiskinan secara menyeluruh, mempertingkatkan bekalan rumah mampu milik berkualiti, mempergiat aktiviti ekonomi dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat.