citfPilah

Seremban, 5 Januari 2022 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan telah mengenal pasti tapak pembinaan rumah baharu bersesuaian di Kampung Puom, Jelebu untuk tujuh keluarga yang kehilangan rumah akibat bencana banjir baru-baru ini. Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata Kerajaan Persekutuan menyediakan kos RM56,000 bagi sebuah rumah manakala kerajaan negeri menyediakan tapak pembinaan rumah tersebut seperti diputuskan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan Negeri menyediakan tapak pembinaan rumah diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan. Saya telah meminta pejabat daerah Jelebu selaraskan segera perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2022 di Wisma Negeri, Seremban.”

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Zulkefly Mohamad Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malek dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata tapak rumah baharu di Kampung Puom tersebut berada di kawasan tinggi dan tidak mengalami banjir baru-baru ini serta selamat diduduki oleh penduduk yang terkesan itu. Namun, sekiranya tujuh keluarga itu yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Puom, tetap mahukan tapak lama, pihaknya bersedia berbincang melihat kepada kesesuaian kerana tidak mahu penduduk berdepan banjir berulang pada masa akan datang.

“Pejabat daerah Jelebu juga menawarkan mereka tinggal di chalet milik Majlis Daerah Jelebu berhampiran situ dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) turut menawarkan penduduk tersebut tinggal di kuarters yang berada di kampung tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai situasi banjir di daerah Tampin dan Jempol yang melibatkan mangsa sehingga mencecah lebih 1,000 orang, Aminuddin menggesa jabatan kerajaan dan agensi berkaitan melihat PPS bersesuaian untuk menempatkan mangsa banjir di dua daerah itu.

“Kita perlu ingat di Gemas melibatkan jumlah mangsa banjir yang ramai, terdapat satu PPS menempatkan 800 mangsa, di situ sepatutnya kita ambil iktibar untuk melihat kesesuaian tempat. Agensi terlibat perlu memberikan kemudahan kepada masyarakat dan tindakan segera perlu diambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata bekalan elektrik di menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di Gunung Telapak Buruk, Jelebu akan pulih dalam masa dua hari lagi. Katanya, walaupun kerja pembersihan belum selesai dilakukan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghantar kabel elektrik bagi kerja membaik pulih di menara tersebut.

“Runtuhan tanah di kawasan tersebut panjang dan berselut tinggi...saya juga dimaklumkan pergerakan tanah di kawasan itu paling aktif sehingga kini,” katanya.

Laluan utama ke menara tersebut kini terputus selepas berlakunya tanah runtuh dan pokok tumbang susulan hujan lebat yang berterusan pada 18 Dis lepas. Media sebelum ini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memberi bantuan dengan menghantar 10,000 liter minyak diesel menggunakan helikopter ke menara tersebut.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM397.4 juta setakat 31 Disember 2021 iaitu bersamaan 88.71 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.