citfPilah

Kuala Pilah, 14 Disember 2021 (Korporat SUKNS) – Pesta Bola Ngoca di Negeri Sembilan telah menjadi sebagai satu tarikan baharu pelancongan yang mengajak pengunjung mengimbau nostalgia aktiviti tradisional 'mengoca' iaitu menangkap ikan di sawah padi, yang sinonim dengan penduduk di daerah ini di Tapak Ngoca, Kampung Budaya Terachi di sini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata acara sukan bola sepak sawah itu, seiring dengan misi industri pelancongan iaitu 'Malaysia - Destinasi Lestari Kaya Budaya' dan dijangka menarik 10,000 pengunjung ke pesta tersebut. Beliau berkata acara tahunan itu turut dimeriahkan dengan aktiviti lain seperti 'mengoca' ikan, memanjat tiang licin, menangkap itik, gusti bantal dan basikal titi, di lapan petak sawah berkeluasan dua hektar. Penyertaan pada pesta ini amat mengalakkan, daripada 128 pasukan termasuk peserta dari negeri lain seperti Kedah dan Terengganu. Rumah inap di sekitar daerah ini juga penuh ditempah.

"Pengalaman bermain di sawah ini telah menjadi satu aktiviti yang semakin jarang dilakukan oleh generasi muda, jadi inilah masanya golongan berkenaan terus memartabatkan aktiviti tradisional ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bola Ngoca di Tapak Ngoca, Kampung Budaya Terachi di sini.

Aminuddin berkata sejumlah RM840,000 diperuntukkan bagi membina arena bola ngoca tersebut, yang dilengkapi kemudahan tempat mandi kepada pengunjung.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut menyalurkan RM3 juta bagi menaik taraf blok B Kampung Budaya Terachi sebagai lokasi pelancongan, serta merancakkan ekonomi rakyat negeri ini.