citfPilah

Seremban, 26 November 2021 (Korporat SUKNS) – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melihat secara menyeluruh segala aspek berhubung cadangan untuk menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Khairul Adib Abd Rahman berkata, cadangan itu perlu dilihat secara holistik termasuk mengambil kira terdapat setengah juta graduan yang menamatkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) setiap tahun. Menurut Mohd. Khairul Adib lagi, cadangan menaikkan had umur persaraan itu perlu juga mengambil kira keadaan ekonomi yang berkembang dengan baik termasuk peluang-peluang pekerjaan sedia ada.

“Memang ada cadangan daripada Bank Dunia untuk menaikkan had usia persaraan secara berperingkat berdasarkan tahap kesihatan yang semakin baik dan masih ramai yang boleh berkhidmat selepas umur 60 tahun.

“Cadangan itu akan dilihat semula, bagaimanapun terpulang kerana terdapat setengah juta pelajar yang keluar daripada IPT setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pengurus Sumber Manusia Negeri Sembilan di Wisma Negeri,

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab. Malik, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Rose Lena Lazemi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP, Nik Amlizan Mohamad serta Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul menjelaskan, pihaknya mahu penjawat awam memfokuskan usaha dalam memulihkan semula negara selepas pandemik COVID-19.

“Ketika ini, masyarakat sudahpun keluar dan mula menggunakan perkhidmatan. Sektor ekonomi juga sudah mula beroperasi dan pelbagai sektor perkhidmatan sudah memulakan tugasan mereka.

“Saya tidak mahu hanya kerana segelintir penjawat awam yang tidak mengambil vaksin, situasi ini mengalihkan fokus untuk pemulihan negara. Pihak JPA telah memberikan kuasa mengikut budi bicara kepada Ketua Jabatan bagi menguruskan sewajarnya mengikut tahap keseriusan. Jika pekerja itu tidak dapat menyampaikan apa yang jabatan perlukan mereka boleh diambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.