citfPilah

Seremban, 23 Julai 2021 (Korporat SUKNS) – Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sembilan menafikan dakwaan tular di laman sosial bahawa orang ramai dibenarkan untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini mulai 1 Ogos.

CITF negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan maklumat yang dipaparkan di laman Facebook itu adalah palsu kerana pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan membenarkan pemberian vaksin COVID-19 sama ada di PPV awam atau swasta.

Hari ini tular satu hantaran di laman sosial Facebook yang mendakwa pada 1 Ogos ini rakyat Negeri Sembilan boleh mendapatkan vaksin secara jumpa terus di PPV Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, UCSI Hospital, Port Dickson dan Dewan Orang Ramai Sikamat, Seremban. Walau bagaimanapun, carian di akaun Facebook berkenaan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.

Bagi tujuan pemberian vaksin di Negeri Sembilan, semua dilaksanakan melalui janji temu yang diselaraskan menerusi aplikasi MySejahtera. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan hadir tanpa janji temu ke mana-mana PPV di negeri ini pada 1 Ogos selain perlu mematuhi tarikh janji temu yang diberikan.

CITF negeri juga akan terus menggiatkan program outreach bagi meningkatkan pemberian vaksin melalui 96 PPV awam dan swasta di seluruh negeri ini, menurut kenyataan itu.