elaunbencana

Seremban, 14 Jun 2021 (Korporat SUKNS) – Seramai 1,716 penjawat awam di Negeri Sembilan akan dipotong elaun dalam tempoh tiga bulan bermula bulan depan untuk disumbangkan ke dalam Tabung Amanah Bencana Negeri Sembilan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, pemotongan itu berdasarkan gred perkhidmatan iaitu Ged 29 ke atas iaitu 50 peratus jumlah elaun sehingga RM10. Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan Imbuhan Tetap Keraian (ITK), manakala RM10 daripada Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga 41.

“Jika ada penjawat awam berpendapatan isi rumah termasuk dalam kategori B40, pegawai perlu maklumkan kepada ketua jabatan untuk kecualikan mereka daripada melaksanakan pengurangan elaun ini.”

"Tapi jika mereka rasa mampu untuk menyumbang, kita amat alu-alukan,"katanya.

Beliau berharap sumbangan daripada penjawat awam itu dapat memberi semangat kepada barisan hadapan untuk terus kuat memerangi Covid-19. Sumbangan itu sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam mengukuhkan sistem kesihatan negara, menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas.

Penjawat awam supaya meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negeri serta membantu memastikan kejayaan mengharungi tempoh yang mencabar ini.