NS LANCAR TAHUN MELABUR NEGERI SEMBILAN 2021
Seremban, 16 Disember 2020 (UKIK) — Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan untuk menarik pelaburan berjumlah RM10 bilion pada tahun depan, dua kali ganda berbanding RM5 bilion pada tahun ini. Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri optimis untuk membawa masuk pelaburan meskipun negara berdepan situasi sukar akibat pandemik COVID-19.

“Kita sentiasa memberikan sasaran (pelaburan) yang meningkat setiap masa walaupun dalam keadaan cukup getir ini dan kita turut bersedia bekerjasama dengan syarikat swasta dalam membangunkan kawasan perindustrian di negeri ini.

“Ini melalui pelbagai tawaran dan insentif diberikan kepada pelabur termasuk tawaran diskaun premium pemberimilikan tanah dan rebat utiliti air serta tidak mengenakan caj pemajuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 (Invest NS 2021).

Aminuddin berkata Invest NS 2021 dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan dan menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa termasuk dari Eropah dan China yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan. 

Selain itu, beliau berkata, pelaburan berjumlah sehingga RM5 bilion pada tahun ini menunjukkan keyakinan pelabur kepada Negeri Sembilan sebagai destinasi bagi peluang dan pertumbuhan meskipun dalam keadaan suram akibat COVID-19.

“Apabila anda melabur di Negeri Sembilan, anda melabur di negeri yang mempunyai penggunaan tanah yang strategik, perkhidmatan sosial yang cekap, kemudahan awam yang dipertingkatkan serta infrastruktur dan utiliti yang berkualiti,” katanya.

Pada majlis itu, Aminuddin turut melancarkan Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan 2021-2045 oleh NS Corporation. Pelan itu merupakan rangka kerja pembangunan yang inklusif dan mampan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV2.0), agropolis dan biodiversiti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata kerajaan negeri komited untuk membawa masuk pelaburan ke Negeri Sembilan menerusi “dasar pelaburan berganda” untuk meningkatkan nilai pelaburan demi menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti dan peluang perniagaan terbuka kepada rakyat. Dalam konteks peluang pekerjaan, Kerajaan Negeri terarah untuk membawa masuk perindustrian berteknologi tinggi, yang memerlukan pekerja mahir dan berilmu.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik dan barisan Exco Kerajaan Negeri.