MAAL HIJRAH : NS HARGAI SUMBANGAN BARISAN HADAPAN
Seremban, 1 September 2020 (Korporat SUKNS) -- Di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin berkenan berangkat ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung secara tertutup itu, Dato’ Syahbandar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Majlis turut dihadiri kira-kira 250 orang terdiri daripada barisan Exco kerajaan negeri, wakil pelbagai agensi kerajaan dan wakil petugas barisan hadapan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pasti kekal di ingatan rakyat Malaysia kerana buat pertama kalinya diraikan dalam suasana normal baharu seiring keadaan negara yang masih 'berperang’ menentang COVID-19.

Pun begitu, keadaan tersebut yang membataskan kehadiran orang ramai ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan tidak mematahkan semangat patriotik rakyat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara dengan cara tersendiri termasuk berkongsi momen dan  ucapan di media sosial.

Menggunakan tanda pagar #malaysiaprihatin dan #momennegaraku, kebanyakan rakyat turut berkongsi gambar mengibarkan Jalur Gemilang serta menzahirkan harapan agar Malaysia terus sejahtera.