T-VAC PROGRAMME TO ASSIST TOURISM OPERATORS REBUILD BUSINES
Seremban, 18 Julai 2020 (UKIK) -- Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) akan membantu usahawan serta syarikat berkaitan pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata melalui kerjasama itu, mereka yang terjejas akan diberi bantuan sokongan menerusi khidmat nasihat secara telesidang melalui program Klinik Khidmat Nasihat Maya TPN (T-VAC).

Maklumat asas seperti nama, e-mel dan alamat lengkap diperlukan ketika membuat pendaftaran," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan wisma Negeri, di sini, hari ini.

“Dalam usaha membuka semula dan memulihkan sesuatu perniagaan, akses kepada maklumat yang tepat dan penelitian terhadap tahap ‘kesihatan’ syarikat adalah antara kunci utama dalam merangka pelan serta strategi pemulihan.

“Ini saya lihat boleh didapati daripada program T-VAC yang mana pendekatan masalah dan penyelesaian diguna pakai dalam merungkai keadaan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program T-VAC peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr Razali Ab Malik, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman, Pengerusi TPN Uzaidi Udanis dan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan negeri Muhammad Zahir Mazlan.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri berkata T-VAC merupakan antara bidang di bawah program khidmat nasihat perniagaan dalam talian kelolaan MPC, yang turut merangkumi pelbagai sektor industri lain termasuk digitalisasi, perniagaan, mekanikal dan kejuruteraan.

“Maklumat dan cadangan yang boleh didapati ketika sesi T-VAC semestinya akan membantu para pengusaha industri pelancongan sekali gus meningkatkan produktiviti serta memulihkan semula industri.

“Saya menyarankan agar pengusaha industri pelancongan di negeri ini mengambil peluang kerjasama ini,” katanya.

T-VAC dilancarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 8 Mei lepas dengan Negeri Sembilan menjadi negeri kedua menyertai program itu selepas Pahang. Kerajaan negeri akan turut mengenal pasti produk pelancongan yang boleh diketengahkan termasuk produk sedia ada akan dijenamakan semula bagi menarik kehadiran pelancong ke Negeri Sembilan.