PUSAT EDU-ECOTOURISM DIJENAMAKAN SEBAGAI PD FOREST
Port Dickson, 10 Ogos 2020 (Korporat SUKNS) -- Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala dijenamakan semula sebagai PD Forest Sungai Menyala yang bertujuan untuk melonjakkan jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Sembilan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun berkata Kerajaan Negeri ingin memperkenalkan Port Dickson bukan hanya memiliki pantai yang indah sahaja, tetapi juga memiliki sebuah hutan unik yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti berbasikal lasak, berkhemah, rekreasi kuda, memanah dan jelajah hutan menggunakan kenderaan pelbagai permukaan (ATV).

"Di sini juga ada trek basikal bukit sejauh 23 kilometer dengan tujuh hentian pemeriksaan yang akan memberikan pengalaman dan suasana yang berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2020 dan Pelancaran PD Forest.

Terdahulu, Aminuddin dalam ucapannya berkata PD Forest akan menjadi syurga kepada pencinta ilmu, pendidik dan pelajar bagi menjalankan pembelajaran dan penyelidikan hutan. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PD Forest ini sebagai kawasan ekopelancongan dan pusat pendidikan yang sangat sesuai kepada pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

Katanya hutan Simpan Sungai Menyala yang berkeluasan 1,280 hektar adalah kawasan berimpak tinggi yang telah diwartakan sebagai hutan perlindungan dan diurus sebagai hutan bernilai pemuliharaan tinggi.

Hutan Simpan Sungai Menyala ini juga adalah Hutan Dipterokarp Pamah Pantai yang masih ada di Semenanjung Malaysia selain terdapat satu Petak Kajian Ekologi yang akan didaftarkan dalam buku Malaysia Book of Records (MBOR) kerana satu-satunya petak kajian yang telah dibanci secara berkala sejak 73 tahun yang lalu.