Penjawat Awam Dilarang Memegang Jawatan Dalam Parti Politik
Seremban, 6 Januari 2020 (Korporat SUKNS) - Penjawat awam di negara ini tidak dibenarkan untuk memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. Beliau berkata dasar ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan supaya penjawat awam tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Nov lepas, kita sudah putuskan larangan penjawat awam terlibat dalam politik, bagi menghormati hak asasi manusia, penjawat awam boleh terlibat dalam parti politik tetapi bagi menjamin penjawat awam kekal neutral, penjawat awam tidak dibenarkan memegang jawatan atau bertanding dalam sebarang jawatan," katanya selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun ketika ini beberapa perkara sedang diperhalusi sebelum pekeliling mengenainya dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memastikan penjawat awam mematuhi perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut memberi amaran kepada penjawat awam untuk tidak mengeluar atau menyebarkan sebarang kenyataan tidak benar berkenaan kerajaan dan sekiranya mereka melakukannya tindakan tegas akan diambil. Beliau juga berkata dalam tempoh tiga bulan lalu pihaknya telah mengambil tindakan tatatertib terhadap tiga orang penjawat awam atas kesalahan menyebar maklumat yang tidak benar.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Razali Ab Malik.