KUALA PILAH, 10 Januari 2019 (Korporat SUKNS)
DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat menghadiri Program Negeri Sembilan Berselawat sempena Hari Keputeraan baginda ke-71 di Padang Besar Seri Menanti di sini malam ini.

Turut berkenan hadir DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan YAM Tunku Zain Al’Abidin.

Keberangkatan tiba baginda disambut YAB Menteri Besar, Tuan Aminuddin Harun dan barisan Exco kerajaan negeri.

Yang turut hadir, YTM Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato' Muhammad Bin Hj. Abdullah, YTM Undang Luak Sungai Ujong Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak Bin Dohak, YTM Undang Luak Rembau Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip Bin Haji Othman dan YTM Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Program yang dihadiri kira-kira 10,000 orang itu bermula pada pukul 9.15 malam dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan, bacaan Asmaul Husna dan doa yang dibacakan Mufti negeri, Dato' Hj. Mohd. Yusof Hj. Ahmad.

Seterusnya, majlis disusuli dengan qasidah oleh Kumpulan Al-Magharibah dari Maghribi dipimpin Sheikh Mohib Khouli.

Terdahulu orang ramai menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Seri Menanti di sini serta bacaan surah Yasin dan doa bagi memohon kesejahteraan Tuanku Muhriz sempena hari keputeraan baginda.