SERI MENANTI: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Seri Haji Mat Ali bin Hassan menghadiri majlis perhimpunan pagi bersama kakitangan muzium Negeri Sembilan yang diadakan di perkarangan Muzium Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah pada awal Mac lalu.
Dato’ Seri Haji Mat Ali di dalam ucapannya mengajak sekalian kakitangan Lembaga Muzium supaya mengambil bahagian dengan lebih cergas ke arah menjadikan Negeri Sembilan sebagai suatu destinasi yang wajib dikunjungi oleh setiap warga Malaysa yang suka melancong.
Menurutnya, setiap kakitangan Lembaga Muzium perlu mempunyai cita-cita yang tidak mematahkan semangat dan berusaha menarik lebih ramai di kalangan generasi muda untuk datang mengunjungi muzium dengan berusaha menganjurkan kepelbagaian program supaya muzium sentiasa nampak segar dan ceria.
“Apabila di antara kita sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan, ia akan menjadikan kita berada di dalam sebuah organisasi yang bersemangat tinggi dan bertenaga untuk memberi harapan pada masa hadapan dengan mempunyai cita-cita yang besar,” katanya.
Bersempena dengan perhimpunan yang diadakan, Dato’ Seri Mat Ali turut mengadakan lawatan ke projek naiktaraf Istana Lama Seri Menanti yang merupakan satu-satunya bangunan kayu yang tertinggi dan tersenarai sebagai warisan kebangsaan.