Negeri Siap Sedia Hadapi Banjir

Seremban, 12 Oktober 2024 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan berlaku pada bulan depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka lebih awal. Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berkata Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim telah mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi lain bagi mendapatkan maklumat berkaitan dan persiapan menghadapi bencana itu

"Saya dimaklumkan bahawa pihak SUK telah bersedia, Mohd Zafir sebagai Pengerusi Bencana Negeri telah bermesyuarat mengenai persiapan menghadapi banjir dan apa juga berlaku kita harus bersedia dari sekarang.

"Agensi bersama perlu digerakkan dengan penyediaan maklumat yang perlu dikongsikan bagi memudahkan semua pihak. Kita juga telah minta supaya bilik gerakan dapat digerakkan dengan segera apabila diperlukan nanti," katanya kepada pemberita.

"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin dilaporkan meminta masyarakat berwaspada dan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir kerana MTL dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengenal pasti kawasan berisiko khususnya banjir termenung dan mobilisasi melalui kerjasama jawatankuasa bencana negeri dan daerah perlu dilaksanakan.

Berdasarkan keadaan semasa di Negeri Sembilan ada trend peningkatan risiko banjir dan berdasarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) fasa peralihan monsun telah bermula pada 24 September. Sebanyak 123 kawasan hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini dan antara kawasan hotspot kerap berlaku banjir termasuk di Kampung Ulu Temiang, Kampung Batu 3, Mambau di Seremban serta Kampung Jimah dan Pekan Linggi di Port Dickson.