SSPA

Seremban, 6 November 2024 (Korporat SUKNS) – Lebih 70 peratus penjawat awam di Negeri Sembilan telah memberi maklum balas terhadap sistem SSPA (Skim Saraan Penjawat Awam) kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan) Dato’ Rozitta Sulaiman berkata secara dasarnya, hampir kesemua penjawat awam di negeri ini menyambut baik dan bersetuju dengan perlaksanaan SSPA ini selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Negeri Sembilan mempunyai lebih 6,000 penjawat awam daripada pelbagai agensi, manakala lebih 400 petugas di bawah SUK negeri. Setakat ini tiada aduan atau bantahan diterima. Borang telah diagihkan dan akan dikembalikan sebelum 30 November ini," katanya kepada pemberita di pada Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort.

Dalam perkembangan lain, Rozitta berkata kerajaan negeri termasuk semua agensi pengurusan bencana negeri telah bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada bulan ini dengan persediaan rapi Pusat Permindahan Sementara (PPS) di setiap daerah.

Beliau berkata pusat maklumat telah diaktifkan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil oleh agensi terlibat di negeri ini selain kelengkapan keselamatan bencana juga lengkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap siaga menggerakkan 41 buah bot dengan kekuatan 1,119 anggota bagi menghadapi kecemasan termasuk risiko banjir semasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, tahap siap siaga itu disifatkan beliau berada pada tahap 100 peratus termasuk di 123 kawasan hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini.

Turut hadir pada Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Sembilan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mohd Zafir Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Ketua-ketua Jabatan Negeri.